Serina Redzuawan selamat bergelar isteri kali kedua

0
1

PELAKON, Serina Redzuawan selamat mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pilihan hatinya, hari ini.

Berita gembira itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Instagramnya.

“Bismillahirahmanirahim. Sempena hari Jumaat penuh keberkatan, dengan penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT, saya nak umumkan bahawa saya telah selamat mendirikan masjid bersama suami.

“Majlis nikah kami dibuat secara tertutup sahaja. Alhamdulillah selesaikan yang wajib dahulu. Benar jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu ditangan Allah SWT.

“Kita yang dilahirkan di bumi semuanya telah tertulis di kitab Loh Mahfuz. Alhamdulillah dialah yang terbaik yang Allah SWT kirimkan untuk menjadi imam dan khalifah buat keluargaku,” tulisnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada bapanya yang merupakan cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali sebagai Chef Wan kerana merestui perkahwinan keduanya itu.

“Terima kasih papa merestui perkahwinan kami. Insya-Allah selepas raya kita buat kenduri doa selamat dan makan di restoran papa ya.

“Terima kasih juga buat sahabat yang tidak putus doakan Serina dan Aidid (suami),” katanya.

Terdahulu, menerusi laporan media, Cef Wan terlebih dahulu meminta Serina dan teman lelakinya mengenali hati budi masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Menurutnya, beliau bukan mahu menghalang anaknya berkahwin dengan penjawat awam berusia 35 tahun itu, namun trauma dengan kegagalan perkahwinan pertama Serina bersama suami terdahulu, Gavin Edward OLuanaigh apabila berakhir dengan perceraian.

Sehubungan itu, Chef Wan enggan menaja lagi untuk majlis perkahwinan kali kedua anak sulungnya itu.

Malahan, beliau turut tidak membenarkan majlis perkahwinan Serina diadakan di rumahnya kerana tidak mahu berasa penat dan membazir.

Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga bersama Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010.

Namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Tristan Tareef O’luanaigh,11 dan Isabella Saffiya, sembilan tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here