SELEBRITI dan usahawan terkenal, Neelofa mengakui kekhilafannya dan memohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standrad (SOP) sepanjang lawatan kerja di Pulau Langkawi, Kedah minggu lalu.
Permohonan maaf Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan dihantar dalam bentuk rakaman video kepada media hari ini.
“Saya serendah dan seikhlas hati memohon maaf dengan segala kesalahan berhubung SOP tidak kiralah dalam pengetahuan ataupun tidak.
“Saya serta suami mengakui dan menerima dengan hati terbuka untuk segala keputusan serta tindakan pihak berkuasa.
“Sekali lagi saya memohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti tentang hal ini, ada banyak perkara terlepas pandang dan sepatutnya memberi contoh lebih baik mengenai hal itu,” katanya dalam video tersebut.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa keluarga kedua-dua pihak termasuk keluarga Haris sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung isu pelanggaran SOP majlis perkahwinan pada 27 Mac lalu.
“Hari ini semua urusan telah selesai, kedua-dua belah keluarga, saya dan Haris telah hadir ke IPD Dang Wangi untuk beri keterangan bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
“Saya dan Haris pergi pada awal minggu ini, keluarga suami pada beberapa hari lalu manakala keluarga saya hari ini. Alhamdulillah semua urusan selesai.” katanya.
Selasa lalu, Neelofa dan PU Riz memberi keterangan kepada pihak polis berkaitan isu SOP majlis perkahwinan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohammad Zainal Abdullah berkata, polis selepas ini akan cuba melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.
“Kita akan cuba menyegerakan proses melengkapkan siasatan memandangkan pegawai penyiasat kes sudah selesai mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri berkenaan.
“Kita akan cuba lengkapkan kertas siasatan kes ini dalam minggu ini kemudian kita akan kemukakan kertas siasatan lengkap itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” tegasnya.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/06/neelofa-dan-suami-selesai-beri-keterangan/

