Audio Zahid-Anwar: Jika fitnah, buat laporan polis – KPN

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan membuat laporan polis jika benar difitnah berhubung penularan audio perbualan telefon yang dikatakan mirip suara mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kedua-dua pemimpin berkenaan belum membuat laporan isu terbabit setakat ini.

“Setakat ini saya tidak dimaklumkan lagi, jadi kita menunggu kalau betul difitnah, tampillah buat laporan polis,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Abdul Hamid berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima berhubung isu itu selepas melihat reaksi orang ramai terhadap penularan audio berkenaan.

“Jika ia (audio) sampai ke tahap orang awam berasa bimbang atau gusar, kita akan jalankan siasatan,” katanya.

Ditanya sama ada proses analisis audio itu akan dilakukan, Abdul Hamid berkata, ia bergantung kepada langkah susulan polis selepas menerima laporan daripada pemimpin berkenaan.

“Itu tindakan susulan jika salah seorang atau kedua-dua pemimpin yang dikatakan suaranya dalam audio itu, membuat laporan mengatakan ia fitnah.

“Proses untuk menilai atau mencari bukti akan dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan antara beliau dan Anwar sebagaimana dalam audio rakaman yang tular di media sosial itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk juga mendakwa dirinya menjadi mangsa politik jahat untuk melemahkan atau memusnahkan Umno

Selepas penafian dibuat Ahmad Zahid, Anwar juga turut mengambil langkah sama dengan menafikan perkara itu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/08/suara-macam-saya-itu-fitnah-anwar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here