BEBERAPA fasiliti akan dipilih untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin Khas atau Special PPV (SPPV) yang dikhususkan untuk memberikan vaksin kepada pesakit-pesakit kategori tertentu yang memerlukan pemeriksaan dan pemantauan rapi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata SPPV diperlukan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua yang akan bermula 19 April ini.
Menurutnya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Ketua Pengarah Kesihatan Bil.2/2021 petang tadi yang diadakan bersama Ketua-ketua Program Teknikal, Pengarah Bahagian-bahagian Teknikal dan Institusi-institusi Penyelidikan KKM, serta Pengarah-pengarah Kesihatan Negeri.
“Mesyuarat telah membincangkan pelbagai agenda teknikal termasuk beberapa kertas pembentangan berkaitan dasar kualiti penjagaan kesihatan kebangsaan, dasar kesihatan pergigian kebangsaan, pelan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan cadangan penambahbaikan perkhidmatan pra-perubatan hospital dan bencana.
“Sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini, pelaksanaan PICK fasa kedua membabitkan golongan rentan termasuk warga emas 60 tahun ke atas, individu yang mempunyai ko-morbiditi dan orang kurang upaya (OKU).
“Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan penglibatan sebilangan hospital/institusi pakar KKM, hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hospital universiti dan hospital swasta dalam PICK fasa kedua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, sebelum imunisasi diberikan kepada kumpulan kedua itu hospital atau institusi terpilih itu perlu melakukan “pre-vaccination assessment”.
“Ia bagi menilai kesesuaian individu untuk menerima vaksin dan lokasi individu tersebut untuk menerima vaksin,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera mendaftarkan diri dan ahli keluarga yang layak menerima vaksinasi Covid-19. – Malaysiapost

