TOKOH Wartawan, Datuk A Kadir Jasin berkata tidak menghairankan sekiranya benar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berunding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sulit.
Beliau berkata, realitinya Presiden Umno dan Ketua Pembangkang itu adalah kawan lama yang mempunyai cerita dan sejarah politik yang panjang.
“Apa yang hendak dihairankan sangat jika Ahmad Zahid terus berunding dengan Anwar secara sulit.
“Kesimpulannya sama ada rakaman suara yang tular di media sosial itu palsu seperti yang didakwa oleh Anwar dan Ahmad Zahid atau tulen seperti dipercayai oleh banyak orang, realitinya Anwar dan Zahid adalah kawan lama,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, mana-mana pemerhati yang telah lama mengikuti perjalanan politik Anwar dan Ahmad Zahid tidak akan terperanjat jika mereka kembali berpakat.
“Sama ada rakaman suara yang didakwa membabitkan dua watak itu tulen atau palsu, bagi saya tidaklah terlalu penting. Demikian jugalah penafian mengenainya oleh Ahmad Zahid dan Anwar,” katanya.
Dalam pada itu, A Kadir berkata, sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri dengan sokongan Ahmad Zahid dan Ahli-ahli Parlimen Umno dalam ‘Kluster Mahkamah’, harapan mereka ‘bebas’ lebih cerah.
“… berbanding sekarang kerana Perdana Menteri, Mahiaddin Md. Yasin (Muhyiddin) telah dilaporkan oleh media massa sebagai berkata, dia tidak akan campur tangan dalam urusan kehakiman,” katanya.
A Kadir berkata, sejarah gandingan politik Anwar-Zahid yang sudah menjangkau puluhan tahun.
Beliau berkata, Ahmad Zahid adalah antara pengikut terawal dan terpenting Anwar dalam Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah protege – anak didik – Anwar.
Katanya, dipantaskan ke hadapan, Zahid adalah baji yang menyebabkan retak menjadi belah dalam perhubungan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar pada tahun 1998.
“Boleh jadi sudah tidak banyak orang ingat ucapan “kronisme dan nepotisme” Zahid di Perhimpunan Agung Pemuda Umno tahun 1998 yang ditujukan kepada Dr Mahathir.
“Ia berlaku pada saat-saat kedudukan Anwar sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sedang diancam oleh tuduhan kegiatan homoseksual dan perbezaan pendapat dengan Dr Mahathir mengenai cara menangani Krisis Mata Wang Asia 1997-98,” katanya.
Ulasnya lagi, pendapat umum ketika itu menyifatkan adalah mustahil Ahmad Zahid berani menuduh Dr Mahathir mengamalkan kronisme dan nepotisme tanpa sokongan atau dorongan Anwar.
Katanya, ini kerana Ahmad Zahid sendiri sedang menyacak naik dalam dunia korporat dengan menguasai beberapa buah syarikat senaraian Bursa Malaysia ketika itu.
“Dr Mahathir membalas tuduhan itu dengan mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menyiarkan nama semua penerima projek penswastaan, kontrak besar dan konsesi kerajaan tanpa mengira bangsa.
“Kalau pun bukan majoriti tetapi ramai daripada yang tersenarai itu adalah mereka yang rapat dengan Anwar,” katanya.
Beliau berkata, apabila seorang pembantu Anwar membuat aduan polis terhadap ‘surat layang’ yang dihantar oleh Ummi Hafilda kepada Dr Mahathir pada tahun 1997, isu di antara Anwar dan bosnya menjadi bertambah kusut.
“Selama lebih setahun Dr Mahathir secara terbuka menyifatkan kandungan surat adik kepada Datuk Seri Azmin Ali itu sebagai fitnah dan ini dilaporkan secara meluas oleh media massa arus perdana waktu itu. Azmin ketika itu adalah orang kanan Anwar.
“Apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan kemudian daripada Umno pada bulan September 1998, Zahid mempunyai pilihan sama ada menyertai Anwar atau kekal dalam Umno. Tapi ada “catch” (syarat) iaitu kalau dia menyertai Anwar, dia mungkin kehilangan aset yang dipegang atau dimilikinya. Zahid memilih untuk kekal bersama Umno.
“Itu dulu. Sekarang keadaan sudah terbalik. Kalau pada tahun 1998 Anwar berdepan dengan mahkamah dan penjara, sekarang giliran Zahid pula,” katanya.
Sementara itu, A Kadir berkata, penafian Ahmad Zahid mengenai isu audio perbualan itu mungkin tidak meyakinkan banyak pihak kerana beliau dan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini pernah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula, khususnya Bersatu, memporakperandakan Umno dan PKR adalah kaedah utama untuk terus kekal berkuasa apatah lagi kalau darurat tidak boleh disambung selepas 1 0gos ini,” katanya – Malaysiapost

