TENAGA Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM850,000 menerusi Program Baiti Jannati bagi merealisasikan impian 17 orang asnaf di Perlis untuk memiliki rumah kediaman sendiri.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).
“Projek ini merupakan Tanggungjawab Korporat TNB bertujuan berkongsi kemakmuran bersama rakyat yang kurang bernasib baik supaya berpeluang menikmati kesejahteraan hidup,” katanya hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah Baiti Jannati TNB di Kangar hari ini.
Pada majlis itu, dua orang asnaf turut menerima bantuan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR), yang dipilih melalui kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) dalam mengenal pasti mereka yang layak dengan peruntukan RM100,000.
“TNB sangat prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan bantuan dan keperluan hidup terutama rumah yang lebih selesa untuk didiami agar kehidupan mereka bertambah baik dan selamat.
“Semoga dengan bantuan daripada TNB ini memenuhi impian mereka untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
Mahdzir juga menyampaikan wang zakat perniagaan TNB negeri Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – Malaysiapost

