KETUA Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yakin audio didakwa perbualan antara Presiden Umno dan Presiden PKR yang tular sejak semalam, 100 peratus tulen.
Annuar berkata, beliau telah mendengar audio perbualan itu lebih 10 kali dan bukanlah sukar untuk mengenal pasti identiti kedua-dua individu berkenaan.
“Suara orang lain berlakon dengan suara sebenar saya boleh cam. Saya dengar lebih 10 kali malam tadi dan saya yakin 100 peratus itu suara tulen, bukan dibuat-buat,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.
Bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) itu berkata kandungan percakapan itu sangat mengecewakan kerana ia dipercayai berlaku tidak lama selepas pernyataan ‘No Anwar, No DAP’ diisytihar pada Perhimpunan Agung Umno.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) perlu mengambil tanggungjawab membuat ketetapan dengan meletakkan parti di hadapan.
“Saya mungkin orang terpinggir, pandangan saya mungkin menambah kebencian sebab orang kata saya pro Bersatu. Tapi sekarang apa yang saya nyatakan ada bukti jelas untuk ahli Umno menilai,” katanya.
Annuar turut meminta Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berani mengambil tanggungjawab dan jujur dengan berundur daripada jawatannya.
“Ambillah teladan Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu bila sampai satu tahap beliau khuatir kedudukan Umno, beliau undur diri, begitu juga Datuk Seri Najib (Razak) meletak jawatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Saya fikir Datuk Seri Zahid patut ambil tindakan seperti pemimpin Umno terdahulu agar parti tidak terbeban,” katanya.
Beliau juga mencadangkan Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama-sama pergi ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk bersumpah yang suara dalam audio tersebut bukan milik mereka.
“Kalau nak tunggu siasatan polis, nanti keputusan tak seperti yang diharapkan, kata polis konspirasi… jadi pergilah Masjid Jamek Kampung Baru berdua (angkat sumpah),” katanya.
Semalam Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan dengan Anwar seperti dalam audio rakaman yang tular di media sosial.
Malah, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perbualan antaranya dengan Presiden PKR itu selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 baru-baru ini.
Berikutan itu beliau mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang terlibat.
Malam tadi, Anwar turut menafikan perkara tersebut dan meminta pegawainya membuat laporan polis, selain mendakwa ia cubaan untuk mengalih perhatian berhubung perseteruan antara Umno dan Bersatu.
Terdahulu tular satu klip audio perbualan didakwa antara Anwar dan Ahmad Zahid sedang berbincang strategi politik semasa PAU baru-baru ini.
Menerusi audio tersebut, perbualan antara kedua-dua individu sangat mesra dan saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan semasa PAU. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

