Mesyuarat MN setuju Umno, PAS perkukuhkan muafakat

0
2

UMNO dan PAS akan terus memperkukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, mesyuarat MN malam tadi menyaksikan kedua-dua parti bersetuju muafakat itu terus dimantapkan di semua peringkat selaras usul yang dilulus dalan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 dan Mesyuarat PAS baru-baru ini.

“Moga diberkati Allah jua,” ciap Ahmad di Twitter hari ini yang turut memaklumkan mesyuarat itu dipengerusikan oleh kedua-dua Timbalan Presiden parti masing-masing.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menerusi hantaran di Facebooknya melahirkan rasa syukur dengan komitmen kedua-dua parti dalam MN.

“Alhamdulillah Mesyuarat Muafakat Nasional Pusat antara Umno dan PAS berlangsung dengan komitmen kedua-dua pihak untuk memantapkan kerjasama.

“Permuafakatan ini menggembirakan rakyat Malaysia khususnya umat Islam,” kata Timbalan Menteri Sains dan Inovasi itu.

Hubungan Umno dan PAS menjadi tanda tanya susulan keputusan PAU 2020 yang memuktamadkan kerjasama politik antara Umno dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akan terhenti sebaik Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun PAS tetap dengan agenda penyatuan ummahnya dan masih berharap parti itu dapat menjadi jambatan hubungan antara Umno dan Bersatu.

PAS tetap dengan pendiriannya untuk kekal secara rasmi sebagai parti komponen PN dan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Malah, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan baru-baru ini berpendapat hubungan yang dibina parti itu bersama Bersatu adalah sama dengan prinsip asas mereka dengan Umno melalui MN.

Takiyuddin berkata kerjasama mereka dalam PN bertujuan untuk menyatukan ummah, selaras apa yang diusahakan dalam MN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here