PELIK tapi benar, pengadil perlawanan terlupa membawa kad kuning dan merah ketika mengadili perlawanan di padang.
Namun itulah yang terjadi dalam aksi Liga Super antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam kelmarin.
Insiden berlaku ketika pengadil tersebut Mohd Fusser Mad Sallih mahu melayangkan kad kuning kepada penjaga gol Selangor FC, Khairul Azhan Khalid namun tidak menjumpai kad di dalam kocek seluarnya.
Beliau kemudian dilihat berlari ke arah pegawai perlawanan di tepi padang sebelum kembali dengan membawa kad kuning dan melayangkannya kepada Khairul Azhan.
Namun peristiwa lucu itu bukanlah satu ‘dosa besar’ dan boleh menjejaskan perlawanan, menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh.
Menurut Subkhiddin situasi itu kemungkinan berlaku selepas pengadil melakukan ‘semakan’ ketika rehat separuh masa, lapor Berita Harian.
Justeru, Subkhiddin yang juga tenaga pengajar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berharap insiden itu tidak dijadikan isu untuk melabel kualiti pengadilan yang lemah.
Sebaliknya katanya ia wajar menjadi pengajaran berguna sebagai peringatan pada masa hadapan.
“Situasi seperti ini memang pernah berlaku tetapi sangat jarang. Contohnya, pengadil terlupa membawa bola ke garisan tengah untuk sepak mula pada masa kedua dan begitulah juga kad kuning serta merah.
“Kebiasaannya sebaik separuh masa berakhir, pengadil akan ke bilik persalinan dan membuat semakan bersama dengan rakannya.
“Ketika inilah pengadil keluarkan kad kuning yang biasanya digunakan untuk mencatat semua jenis kesalahan untuk rujukan dan mereka mungkin terlupa memasukkannya semula ke dalam poket,” katanya.
Beliau seterusnya memuji Mohd Fusser yang memperbetulkan keadaan dengan mendapatkan kad kuning daripada pegawai keempat dan melayangkan kepada pemain yang bersalah,” katanya. – Malaysiapost

