Zoo Negara nafi harimau diabai, tak sihat sebenarnya

0
2

ZOO Negara menafikan dakwaan Harimau Malaya jagaannya tidak diberi penjagaan sepatutnya seperti berita yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lan berkata, tiada isu haiwan tidak diberi makanan mencukupi atau tidak terurus di Zoo Negara.

“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga telah turun padang untuk memantau keadaan Harimau Malaya tersebut dan mereka mendapati tiada sebarang masalah.

“Hanya terdapat seekor Harimau Malaya yang tidak sihat, ia sedang pulih setelah dirawat dan diberi peluang untuk berjalan di dalam kandangnya,” kata Rosly seperti dilapor Kosmo Online.

Rosly berkata, netizen tidak sepatut menularkan sesuatu perkara tanpa mengetahui hujung pangkal cerita sambil menegaskan semua haiwan di Zoo Negara dijaga rapi dan diberi perhatian secukupnya.

Mengulas mengenai isu kekurangan dana Zoo Negara, Rosly menjelaskan dana yang ada cukup untuk memberi makanan dan penjagaan asas kepada haiwan selain membayar gaji pekerja.

“Namun untuk kembali pulih seperti dahulu, Zoo Negara memerlukan minimum 500,000 pelawat setiap tahun,” katanya.

Baru-baru ini tular gambar di laman Facebook yang mendakwa haiwan-haiwan di Zoo Negara berada dalam keadaan menyedihkan, serta kelihatan seperti tidak terurus.

Seorang pengunjung Zoo Negara sempat memuat naik gambar seekor harimau kelihatan sangat kurus.

Rata-rata netizen mempersoalkan dana sumbangan orang ramai yang telah disumbangkan orang ramai.

Malah, kebersihan kawasan itu juga dipertikai kerana bekas takungan air minuman air kelihatan kotor dan ada sesetengah bahagian yang berbau. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/03/zoo-negara-tawar-diskaun-buka-jumaat-ini/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here