GARA-GARA tidak mahu datang kerja, seorang remaja perempuan sanggup menipu majikan dengan memalsukan keputusan ujian calitan Covid-19.
Berikutan tindakan tidak bertanggungjawab remaja itu, majikannya terpaksa menutup premis makanan miliknya bagi melakukan prosedur pembasmian kuman mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Bagaimanapun, remaja itu ditahan di rumahnya di Mutiara Rini, Skudai semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata gadis berusia 19 tahun itu ditahan susulan laporan majikannya yang juga pemilik restoran.
Beliau berkata, majikan berusia 32 tahun itu menerima mesej WhatApp pekerjanya yang menghantar foto sekeping surat mendakwa dia positif Covid-19.
“Disebabkan itu, lelaki tersebut menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 lagi pekerja yang lain untuk membuat ujian calitan Covid-19.
“Bagaimanapun, hasil ujian calitan mendapati kesemua pekerjanya termasuk majikan restoran negatif Covid-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Polis Daerah Iskandar Puteri semalam.
Menurut Dzulkhairi, majikan terbabit bertanya sendiri kepada pekerjanya yang dikatakan positif Covid-19 bagi mengetahui cerita sebenar.
“Pekerja tersebut mengaku bahawa dia menipu tidak mahu datang bekerja. Menurut majikan itu, remaja terbabit baru sahaja sehari diterima bekerja di restoran tersebut pada Isnin.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah seksyen 420/468 Kanun Keseksaan kerana memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan Covid-19.
“Polis akan memohon perintah reman ke atas suspek,” katanya. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/07/tak-ada-sivik-punya-orang/

