SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai jenis kereta mewah, hartanah dan jam tangan yang keseluruhannya bernilai RM25.56 juta, susulan kejayaan menumpaskan sindiket dalam pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata ia melibatkan 66 kenderaan mewah bernilai RM13.69 juta serta 30 unit hartanah berjumlah RM11.86 juta.
Beliau mengesahkan setakat ini, lima individu termasuk dalang utama bergelar Datuk, berusia 33 hingga 43 tahun ditahan menerusi Op Hack yang dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar ibu negara dan Sungai Petani.
“Kesemua mereka direman enam hari mulai hari ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud di Putrajaya hari ini.
Azam berkata siasatan mendapati ada anggota sindiket yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Inigresen serta mahir dalam selok belok berkaitan sistem PLKS.
Kesemua mereka, katanya, mempunyai kemahiran teknikal untuk menggodam sistem tersebut, seterusnya beroperasi dari luar JIM untuk mengekalkan PLKS secara tidak teratur kepada pekerja asing.
“Ada antara anggota sindiket merupakan bekas kakitangan JIM dan mereka memberi jalan bagaimana perkara ini (penggodaman) dilakukan.
“Mereka orang teknikal dan tahu mengenai sistem imigresen. Setiap satu PLKS dijual antara RM5,000 hingga RM6,500,” katanya.
Semalam media melaporkan SPRM menahan lima individu termasuk seorang Datuk dipercayai terlibat dalam pengeluaran PLKS palsu, membabitkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing.
Mereka ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan JIM sejak setahun lalu.
Sindiket itu dipercayai bergerak dengan kerjasama ‘orang dalam’ untuk menggodam pangkalan data JIM dengan memasang transmiter.
Seterusnya memberi akses kepada anggota sindiket untuk menukar kata laluan pegawai imigresen dan mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat jabatan penguatkuasaan itu. – Malaysiapost

