Kerajaan Selangor digesa tarik balik pajakan tanah Ladang Tennamaram

0
1

Nilam Oshman

AHLI Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar mendesak Kerajaan Selangor menarik semula pajakan tanah di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya daripada dua syarikat iaitu Trillion Projek Sdn Bhd dan Biasan Suria Sdn Bhd.

Noh berkata, tanah tersebut yang diusahakan lebih tiga generasi telah dipajakkan kepada dua syarikat terbabit selama 21 tahun oleh kerajaan negeri.

“Jadi apa yang peneroka ingin mempertikaikan adalah mereka sudah meneroka selama 40 tahun di sini sejak tahun 1965. Tetapi malangnya Kerajaan Selangor pula memberi tanah di ladang Tennamaram lebih kurang 200 hektar kepada dua syarikat untuk tujuan pertanian dan perternakan.

“Malah, Kerajaan Selangor berikan tempoh pajakan selama 21 tahun. Jadi, kami mahu kerajaan Selangor tarik balik pajakan tersebut, fikirkan nasib peneroka-peneroka ini yang mencari punca pendapatan di sini.

“Adakah benar-benar syarikat ini ingin usahakan pertanian atau ada niat lain kerana ada sungai?. Jadi kita bimbang pasir di situ, mungkin mereka ada tujuan tersendiri,” katanya pada sidang media selepas bantahan peneroka di Ladang Tennamaram, Kuala Selangor.

Pengerusi Umno Selangor itu berkata, nasib peneroka Ladang Tennamaram akan sama seperti Ladang Peransang, selain tanah diambil, peneroka turut dikenakan cukai oleh syarikat terbabit sebanyak RM150 bagi satu ekar.

Dalam pada itu, Noh turut meminta Kerajaan Selangor terutama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari meneliti dan mengkaji semula perkara ini.

“Segera selesai isu rakyat ini, kasihanilah mereka yang bertungkus-lumus mengusahakan ladang ini,” katanya. -Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here