‘Zuraida, jangan terus beri harapan palsu kepada pembeli PR1MA’

0
1

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin didakwa terus mengelirukan pembeli berhubung status pembinaan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia ( PR1MA).

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata ia susulan kenyataan Zuraida semalam yang berjanji bahawa pembinaan rumah PR1MA Port Dickson akan disiapkan menjelang September 2021.

Namun, katanya, kenyataan itu adalah bercanggah dengan tarikh sipa projek yang dikemukakan oleh PR1MA iaitu 31 Mei lalu.

“Adakah tarikh siap akan dianjakkan sekali lagi selepas beberapa kali ditukar sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri KPKT?Para pembeli juga menganggap ini merupakan suatu lagi harapan palsu oleh YB Zuraida.

“Ini kerana ketika pertemuan Menteri bersama pembeli PR1MA Port Dickson pada 8 Januari 2021, beliau turut menyatakan bahawa kerja-kerja pembinaan yang telah terhenti sekian lama sejak sebelum penularan wabak Covid-19 lagi, akan disambung semula pada 22 Januari 2021 dengan seramai 300 pekerja,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, semakan yang dibuat pada tapak projek pada 4 April lalu membuktikan janji Menteri adalah meleset sama sekali dan tiada tanda-tanda kerja pembinaan dijalankan.

“Sekiranya pemaju yang dibatalkan projek-projek PR1MA lain boleh diberikan pampasan secara keseluruhan RM172 juta, Menteri sepatutnya turut bertanggungjawab atas kerugian yang ditanggung oleh pembeli sepanjang tempoh pemberhentian kerja-kerja di tapak pembinaan.

“Saya juga mengulangi gesaan agar Menteri berlaku jujur dan terbuka dengan menyenaraikan setiap projek PR1MA dengan tarikh asal siap, senarai projek yang dipinda tarikh siap, senarai projek lewat dan terbengkalai serta kerugian yang ditanggung oleh setiap pembeli akibat kegagalan projek-projek PR1MA siap mengikut jadual asal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here