SATU klip audio perbualan didakwa antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berbincang strategi politik semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 , tular di media sosial baru-baru ini.
Perbualan dipercayai antara Presiden PKR dan Presiden Umno itu sangat mesra dan kedua-duanya saling bertukar pandangan berhubung ucapan para perwakilan semasa PAU berlangsung, lapor portal Agenda Daily.
“Saya dah 22 tahun baru saya follow (mengikuti) Perhimpunan Agung Umno,” kata Anwar sambil ketawa semasa awal perbualan.
Klip audio tersebut berdurasi 4 minit lebih.
Ahmad Zahid kemudiaan menjelaskan kepada Anwar tentang ucapannya semasa PAU itu adalah sebahagian daripada strategi, ia dipercayai merujuk kepada kenyataan: “No Anwar, No DAP, No Bersatu” dalam ucapan dasarnya semasa PAU.
“Don’t worry that is only tactical ok (jangan risau, itu hanya strategi),” balas Zahid kepada Anwar.
Anwar juga memuji Zahid berhubung ucapan berapi-apinya semasa PAU, namun seakan mempersoalkan Zahid yang sepatutnya ‘menamatkan semuanya’, ia dipercayai merujuk kepada keputusan untuk mendesak Menteri dan Timbalan Menteri Umno meletak jawatan serta-merta.
“I tengok ucapan you ni bagus .. and then the mattters MT (Majlis Kerja Tertinggi).. and of course kita nak finish the game tapi kalau you dah fikir mandat itu ok la… cuma ada kerja sikit dengan MT je la,” kata Anwar.
Ia kemudian dijawab oleh Ahmad Zahid dengan mengatakan MKT tidak menjadi masalah kerana sudah menerima sokongan padu.
Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungannya menyuarakan hasrat MKT telah menerima mandat untuk menentukan tarikh sesuai bagi kesemua Menteri dan Timbalan Menteri Umno melepaskan meletakkan jawatan.
Dalam perbualan itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan Anwar sebagai mentornya yang handal berucap.
“You tau siapa cikgu saya kan (ketawa).. cikgu saya yang handal ucapan ni orang yang saya tengah cakap ni (ketawa),” kata Zahid lagi.
Penghujung perbualan, Anwar turut mengingatkan Zahid mengenai langkah selanjutnya yang perlu dilakukan segera.
“Cuma now tak habis kita ada sikit lagi tu nak kena… because kalau kata la you dapat ni…. maknanya dia kena emergency MT tau,” kata Anwar.
Minggu lalu, sehari selepas berakhir PAU, Menteri dan Timbalan Menteri Umno bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan nasihat berhubung keputusan yang dibuat parti itu menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
Bagaimanapun, semua Menteri dan Timbalan Menteri Umno tidak meletak jawatan mereka sebaliknya kekal untuk bersama kerajaan Perikatan Nasional.
Turut didedahkan sebelum ini bahawa Ahmad Zahid masih tidak memanggil Menteri dan Timbalan Menteri Umno berjumpa dengannya walaupun selepas beberapa hari bertemu Muhyiddin.
Ia menimbulkan spekulasi kononnya Kluster Menteri tidak menerima keputusan yang dibuat semasa PAU dan tidak mahu melepaskan jawatan mereka. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

