Kes mahkamah punca rundingan jajaran baharu belakang tabir – dedah Annuar

0
1

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata penghakiman di mahkamah terhadap tokoh tertentu Umno adalah permulaan kepada tercetusnya perundingan jajaran baharu di belakang tabir.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu ketika mendedahkan perkara itu, memaklumkan beliau mengetahui perkara tersebut ketika masih Setiausaha Agung BN yang sedang mengendalikan pengurusan parti yang sedang bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Katanya, ketika itu beliau sudah mula terhidu sesuatu sedang berlaku apabila jajaran asal yang dipersetujui berdasarkan keputusan parti itu mula dipinggirkan.

Ini kerana katanya, ada individu yang mula menggerakkan rundingan antara Umno dengan PKR sehingga akhirnya diberi satu sokongan hitam putih untuk menukar kerajaan.

“Maka di sinilah berlaku perubahan haluan. Walhal di saat itu adalah saat yang penting kerana pada 18 Ogos kita telah menerima kesediaan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) setelah pada Julai kita memanjangkan jemputan untuk mereka.

“Dan pada 19 September, sebulan kemudian, perkara itu dimeterai dalam minit mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional.

“Tapi malangnya pada masa sama, bulan September itu jugalah naratif baharu sudah mula dibina, dan naratif asal ini yang baru mula hendak membenih telah ditenggelamkan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Matlamat MN untuk membentuk semula kerajaan yang berteraskan Melayu Islam tanpa mengetepikan bangsa lain sudah berada pada landasannya pada awalnya.

Katanya, pada ketika itu Umno berjaya bermuafakat dengan mengetepikan hal-hal kecil dan furuk untuk menumpukan kepada agenda murni itu dengan asas yang dibina kukuh bersama.

“Sokongan diberi secara ‘en bloc’, dasar ‘No Anwar, No DAP’ terus dipegang dan melawan Covid-19 menjadi teras utama. Bagaimanapun, semuanya hanya bertahan selama enam bulan sahaja.

“Mac hingga Ogos. Pada bulan Ogos, banyak peristiwa politik berlaku, termasuk penghakiman di mahkamah terhadap tokoh tertentu dalam Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ada juga yang mengatakan bahawa kegagalan Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) adalah disebabkan ia tidak diterima baik oleh akar umbi.

Katanya, perkara itu tidak boleh terjadi demikian kerana rundingan rasmi antara dua parti itu tidak pernah berlaku dan menjelaskan ‘cakap-cakap’ itu kemudiannya muncul

“Sebelumnya, kerjasama yang terbina sangat molek sehingga Umno menerima wakil dari parti minoriti itu sebagai Perdana Menteri. Saya di urusetia, saya tahu sebenarnya soal rundingan kerusi pun belum pernah berjalan antara Umno dengan Bersatu.

“Ia hanya baru berjalan antara Umno dengan badan perhubungan negeri, kemudian Umno dengan parti komponen (dalam BN), selepas itu Umno dengan PAS.

“Antara Umno dengan Bersatu, rundingan secara formal belum pun lagi berlaku. Tetapi macam mana boleh keluar cerita berebut kerusi itu ini dan sebagainya?” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here