AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini secara terbuka terbuka mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disingkir sebagai Presiden Umno.
Mohamed Nazri ketika menyuarakan gesaan itu turut memberi peringatan yang peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) amat tipis jika Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN.
Malah, beliau turut membangkitkan apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC minggu lalu sebagai bukti Ahmad Zahid tidak lagi dihormati parti komponen BN.
“Komponen BN nampaknya tidak menghormatinya (Zahid). Lihat sahaja AGM MIC hujung minggu lalu di mana Perdana Menteri (tan Sri) Muhyiddin Yassin dijemput untuk menyampaikan ucapan kepada para perwakilan.
“Sekiranya presiden Umno dan pengerusi BN kuat, tidak ada parti komponen yang berfikir untuk mengundang orang luar. Ini sangat memalukan,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Mohamed Nazri yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin pada Januari lalu, turut mencadangkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengambil alih kepimpinan daripada Ahmad Zahid yang kini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah.
“Selagi dia ada, Umno tidak akan dilihat sebagai parti yang bersih kerana perbicaraannya.
“Sekiranya Zahid berundur, ia tidak akan menimbulkan masalah mengenai siapa yang harus memimpin parti kerana kita (Umno) hanya mengikut hierarki. Tok Mat (Mohamad Hasan) ambil alih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri menyuarakan keyakinan Mohamad mampu mengetuai Umno dan berharap Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu akan melakukan reformasi dalam parti itu.
Semalam, Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah turut menggesa Ahmad Zahid berundur demi memastikan kelangsungan parti itu agar terus relevan dalam landskap politik tanah air.
Katanya, membersihkan parti dan membuang imej ‘warlord’ merupakan jalan terbaik yang perlu dilakukan sekiranya parti terbesar orang Melayu itu benar-benar mahu berubah.
Bagaimanapun terdapat pemimpin dalam Umno yang berpendirian parti itu perlu kekal bekerjasama dengan Bersatu dan PN.
Krisis dalaman Umno dilaporkan semakin meruncing dengan kebangkitan suara ahli menentang kepimpinan parti. Malah, satu rakaman audio dipercayai perbincangan strategi politik antara Ahmad Zahid dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula turut tular di media sosial.
Walaupun ketulenan rakaman itu belum disahkan tetapi ia telah beredar dalam lingkaran Umno, membayangkan kemelut dalaman parti itu kian rumit. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/07/anwar-zahid-bincang-strategi-politik-semasa-pau/

