Malaysia mahu pembukaan sempadan dipercepat

0
3

MALAYSIA sedang berunding dengan tujuh negara di rantau ini untuk membuka semula operasi penerbangan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu turut dibincangkan menerusi pertemuannya dengan pengurusan tertinggi Airbus hari ini.

Dalam pertemuan itu, katanya kedua-dua pihak membincangkan keperluan untuk mempercepat pembukaan sempadan dengan negara-negara lain dalam era pasca-pandemik agar syarikat penerbangan dapat pulih secepat mungkin.

“Saya memberi jaminan kepada Airbus bahawa Malaysia sedang berunding dengan tujuh negara di rantau ini untuk membuka kembali operasi penerbangan berdasarkan perkembangan semasa berkaitan penerimaan vaksin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Presiden Airbus Asia-Pasifik, Anand Stanley bersama Naib Presiden dan Ketua Airbus Malaysia, Raymond Lim serta Ketua bagi Projek Khas, Nizamudin Abdul Majid.

Ka Siong berkata, Airbus dan Malaysia mempunyai hubungan baik lebih dari 40 tahun dan kewujudan syarikat itu di negara ini membawa limpahan manfaat bagi sektor perniagaan syarikat multinasional, termasuk perkhidmatan pelanggan, helikopter, penyelenggaraan serta pertahanan dan ruang angkasa.

“Malaysia memiliki pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih milik Airbus di Sepang, satu-satunya pusat penerbangan global yang menyediakan perkhidmatan dari seluruh dunia.

“Anand memberitahu saya bahawa kepelbagaian kita, kumpulan tenaga mahir yang kompeten, sumber daya dan daya saing membolehkan Airbus terus bertapak di Malaysia berbanding negara-negara Asia Pasifik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kini lebih 4,000 kakitangan dan pembekal bekerja dengan Airbus di Malaysia.

“Terima kasih kepada Airbus kerana bekerjasama dengan banyak syarikat milik Malaysia, termasuk sebuah syarikat di Melaka yang merupakan pembekal komponen terbesar di dunia untuk Airbus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here