Maiwp tetapkan tiga kadar zakat fitrah tahun ini

0
2

TIGA kadar zakat fitrah ditetapkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) tahun ini bagi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kadar zakat fitrah yang ditetapkan oleh Maiwp berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan adalah RM5, RM7 dan RM14.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kadar RM5 bagi meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan untuk menunaikan kewajipan zakat fitrah akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara.

“Dua lagi kadar RM7 dan RM14 yang ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan.

“Selari dengan norma baharu, Maiwp turut memperkenalkan kaedah pembayaran secara dalam talian yang boleh diakses melalui laman sesawang Maiwp www.maiwp.gov.my,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini

Menurutnya, pelbagai platform pembayaran lain turut disediakan antaranya ePay MAIWP, SnapNPay, e-wallet Boost, JomPAY, dan melalui laman sesawang fitrah.zakat.com.my.

“Setiap amil juga akan diberikan QR Code yang boleh diimbas untuk transaksi tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun ini Maiwp menyalurkan sumbangan Ihya Ramadan kepada 790 masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membabitkan peruntukan dana zakat sebanyak RM9.23 juta.

Katanya ia membabitkan RM15,000 kepada setiap masjid, surau Jumaat (RM12,500) dan surau (RM11,000).

Bagi program Dapur It’am Ramadan yang dimulakan tahun lalu pula, Zulkifli berkata kerjasama Maiwp dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM2.1 juta.

“Sumbangan ini disalurkan kepada 24 masjid dan 46 surau terpilih di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here