HUKUMAN penjara 228 tahun yang dikenakan terhadap seorang bekas warden asrama pusat tahfiz atas tuduhan liwat dipinda kepada 50 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kangar hari ini.
Keputusan dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan tertuduh, Nawawi Anuar, 29, yang dibuat menerusi panel peguambela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diketuai Mohd Hapiz Rajali, Norharniza Rusli, Nor Herdawati Harun, Siti Hajar Che Ahmad dan dibantu peguam kanan, Zamri Ibrahim.
Menurut Berita Harian, Hakim Datuk Azmi Abdullah turut membenarkan rayuan hukuman sebatan tertuduh dengan meminda hukuman 42 sebatan kepada hanya 20 sebatan.
Pada 29 Mei 2019, Nawawi dijatuhi hukuman penjara 228 tahun serta 42 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kangar selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap 24 pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, hukuman penjara yang dijatuhkan itu tidak dijalankan secara serentak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat lima pelajar berusia sembilan hingga 15 tahun di pusat tahfiz berkenaan sepanjang April 2019.
Pendakwaan dilakukan oleh Izham Ali selepas panel pembelaan memfailkan rayuan pada 20 Februari tahun lalu.
Dalam hujahan rayuan, pihak peguam bela menyatakan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini dilihat agak luar biasa apabila hukuman yang dijatuhkan itu berjalan secara berasingan sehingga menyebabkan tempoh penjara tertuduh berlanjutan sehingga 228 tahun.
Malah, dalam hujahan rayuan itu juga, pihak pembelaan melihat dari segi faktor umur yang mana tiada manusia yang akan hidup selama tempoh hukuman berkenaan.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK, Seksyen 15(e) serta Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh kini menjalani hukuman di Pusat Koreksional Perlis bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Mei 2019. – Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama

