Pusingan kerja pegawai di jawatan sensitif wajar – CUEPACS

0
1
Presiden CUEPECS, Adnan Mat. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

PUSINGAN kerja bagi pegawai di jawatan sensitif terutama di bahagian perolehan dan tender wajar dilaksanakan kerana ia boleh mencegah sebarang ruang kepada kegiatan salah laku dapat dirancang.

Presiden Kongres Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata apabila terlalu lama memegang jawatan tersebut, sudah tentu seseorang pegawai dapat mengesan kelemahan yang boleh diambil kesempatan untuk berkomplot dengan pihak yang berkepentingan.

Selain itu, katanya, pemangsa di luar sana juga sukar untuk mendekati atau ‘menghimpit’ penjawat awam ini sekiranya pusingan kerja dilakukan bagi jawatan sensitif.

“Bagaimanapun CUEPACS tetap yakin prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang sedang dan telah dilaksanakan di dalam perkhidmatan awam seperti audit dalaman dan Audit Negara masih lagi mampu menutup sebarang kegiatan salah laku.

“Apatah lagi dengan penglibatan aktif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membendung kegiatan salah laku.

“Sukar untuk terlepas sekiranya melakukan kegiatan salah laku terutama membabitkan isu-isu perolehan yang sudah mempunyai SOP ditetapkan seperti Garis Panduan Perolehan dan Pekeliling Perolehan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini yang mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku.

Mohd Zuki berkata demikian susulan SPRM menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

Penahanan itu termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun dipercayai berjaya melumpuhkan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 billion.

Kartel terbabit dikatakan memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak 2014. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here