2 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

0
4

BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual dan melarang penjualannya di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, produk tersebut adalah Beautywise Rejuvenating Cream’ dan ‘Beautywise Rejuvenating Toner’ yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin.

Katanya, produk yang mengandungi dua bahan itu adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berkenaan

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat itu telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

“Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here