Nilam Oshman
SELEPAS suram tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19, Aidilfitri tahun ini dijangka kembali meriah.

Walaupun sekali lagi akan disambut dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, namun kelonggaran yang diberi kerajaan kali ini berbanding tahun lalu, menyebabkan tempahan terhadap kelengkapan meraikan lebaran kembali rancak.
Tinjauan Malaysiapost di Wisma Yakin, Jalan Masjid India di ibu negara mendapati peniaga tak menang tangan menguruskan tempahan kelengkapan Aidilfitri walaupun Ramadan hanya akan tiba kira-kira seminggu lagi.

Pemilik kedai jahit, Sahmar Zubir berkata setakat ini beliau menerima kira-kira 300 pasang tempahan baju Melayu pelbagai jenis termasuk cekak musang dan teluk belanga, selain baju Melayu moden yang paling laris.
“Tempahan baju Melayu paling laris tahun ini adalah jenis moden dengan pilihan warna biru gelap, ‘dusty pink’ dan kuning cair.
“Kita masih buka tempahan kepada sesiapa yang nak buat baju Melayu, jenis teluk belanga, cekak musang… semua kita buat.
“Tahun ini kita nak ‘cover’ balik kerugian tahun lepas,” katanya.

Sahmar yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam jahitan berkata, perniagaan pada tahun lalu terjejas teruk sehingga beliau terpaksa melelong baju yang siap dijahit kepada butik bagi menampung kos seperti membayar pinjaman dan gaji pekerja.
“Perniagaan teruk sebab terkesan dengan pandemik Covid-19, perniagaan kami tutup sepanjang tempoh PKP.
“Alhamdulillah tahun ini dapat meniaga semula pada Ramadan,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak 1980-an.
Bagi pengurus butik kurta dan jubah, Muhamad Nazeer berkata, jubah Burqa Abaya dari Dubai kini menjadi trend bagi wanita dan paling laris dijual menjelang Ramadan ini.

Katanya, selain jubah tersebut, mereka menjual barangan muslimin dan muslimah seperti sejadah, kurta, al-Quran, telekung termasuk barangan hantaran.
“Namun yang paling ‘top sale’ untuk musim Ramadan ini, Jubah wanita iaitu Burka Abaya yang diimport dari Dubai.
“Keistimewaan Burqa Abaya itu lebih kepada tekstur kain yang lembut, kekemasan jahitan, rekaan, corak dan batu permata yang berlainan pada setiap jubah yang dijual.
“Harganya pula bermula dari RM150 hingga RM700, bergantung kepada ciri-ciri berkenaan,” katanya.

Tambahnya, mereka turut memgimport pakaian labuh tersebut dari Kuwait, Bahrain dan Vietnam.
“Pelanggan mempunyai banyak pilihan dan harga yang ditawarkan berpatutan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun setakat ini hanya 40 peratus pelanggan yang membeli namun perniagaan memuaskan berbanding tahun lalu. – Malaysiapost.

