Tak boleh rentas negeri, Sekinchan terima jumlah pengunjung luar biasa

0
2

Nurul Huda Abhar

DAERAH Sekinchan di Selangor menerima kunjungan luar biasa pelancong tempatan sempena cuti penggal pertama persekolahan minggu lalu.

Larangan merentas negeri yang masih berkuat kuasa menjadi antara faktor warga kota memilih Sekinchan yang dikenali kawasan jelapang padi di Selangor sebagai lokasi percutian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata dianggarkan ribuan pelancong tempatan masuk ke daerah itu minggu lalu berikutan rentas daerah telah dibenarkan oleh kerajaan.

“Hotel dan homestay penuh. Memang sangat ramai pelancong yang datang ke Sekinchan sempena cuti sekolah minggu lepas.

“Mereka berada di pekan Sekinchan. Antara produk Sekinchan yang mereka suka kunjungi adalah Galeri Padi, Ah Ma House, Mango King, Sekinchan Coconut Farm, Pantai Redang, selain Restoran Lembah Bernam yang menyediakan makanan eksotik,” katanya kepada Malaysiapost.

Suee Lim berkata, pengusaha pelancongan di Sekinchan sudah bersedia sekian lama untuk menerima kunjungan pelancong dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menurutnya, pihaknya bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus mengorak langkah ke hadapan menyusun rangka dan persiapan untuk memastikan lebih ramai pelancong berbilang kaum datang ke Sekinchan.

“Ini kerana sudah lebih setahun sektor pelancongan menghadapi tempias yang parah angkara virus Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Boleh kata hampir lumpuh setahun yang lepas industri pelancongan kerana sekatan merentas daerah dan negeri. Sekarang apabila dibenarkan merentas daerah, Sekinchan terus menjadi tumpuan,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan yang dilakukan bagi mempertengahkan Sekinchan sebagai lokasi tarikan pelancong adalah meningkatkan promosi melalui melalui media sosial.

“Nak bercuti pusing Selangor, jangan lupa singgah Sekinchan dahulu”. Ini antara slogan yang kita gunakan sebagai promosi,” kata beliau.

Cuti persekolahan penggal pertama 2021 yang bermula pada 29 Mac selama seminggu menunjukkan peningkatan kunjungan pelancong di beberapa kawasan tumpuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Ini berikutan kerajaan masih melaksanakan larangan rentas negeri berikutan dua negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – Malaysiapost

Foto Kredit: Tourism Selangor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here