SRC: Peguam Najib persoal hakim tiada pengalaman dengar kes jenayah

0
3

PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mempersoalkan kenapa Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dilantik untuk mendengar kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak, kes yang dianggap paling penting dalam abad ini.

“Pada saat-saat akhir mereka melantik seorang hakim yang tiada pengalaman dalam perbicaraan jenayah,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.

Beliau berkata demikian dalam rayuan Najib di hadapan barisan tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Muhammad Shafee berkata, hakim besar Malaya ketika itu, menjawab suratnya, berkata ia pemindahan rutin.

Sebelum itu, Hakim Datuk Sofian Abd Razak yang menjalankan pengurusan kes SRC dengan tujuan untuk menghakimi perbicaraan itu.

Muhammad Shafee berkata, dalam lebih 40 tahun pengalaman sebagai seorang bekas timbalan pendakwa raya dan peguam, kes jenayah yang kompleks didengari hakim berpengalaman.

Beliau mengambil contoh kes bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris, yang berdepan tuduhan rasuah pada 1977; dan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituduh salah guna kuasa pada 1999.

“Dalam kedua-dua kes itu, hakim yang berpengalaman dalam kes jenayah mendengar kes-kes itu,” katanya.

Beliau mendakwa Mohd Nazlan membuat beberapa kesilapan dalam kes SRC. Abdul Karim kemudian minta Muhammad Shafee tunjukkan kesilapan itu.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mohd Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib, dan mengarahkan bekas perdana menteri itu membayar denda RM210 juta, selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang berkait RM42 juta milik SRC International.

Najib sedang merayu sabitan dan hukuman itu.

Muhammad Shafee berhujah Mohd Nazlan, semasa memerintahkan Najib membela diri pada 11 November 2019, berkata pihak pendakwaan dapat membuktikan kes prima facie.

Namun, selepas mendapati Najib bersalah, Mohd Nazlan memasukkan beberapa sebab lain kenapa Najib diperintah membela diri, katanya.

“Ini sangat tidak wajar dan prejudis terhadap tertuduh,” katanya, dan menambah ini satu kekhilafan yang serius.

Shafee berkata, dalam perbicaraan jenayah, mahkamah mesti percaya akan kata-kata tertuduh sungguhpun berasa sangsi, terutama apabila kebebasan asasi menghadapi risiko akan tergugat.

Perbicaraan bersambung esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here