ECRL diubah semula ke laluan asal, anggaran kos RM50 bilion

0
2

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan ditambah baik dan laluannya akan dijajarkan semula ke asalnya iaitu Jajaran Utara membabitkan kos anggaran pembinaan sebanyak RM50 bilion.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata jajaran baharu yang dikenali sebagai ECRL 3.0 itu dilaksanakan setelah mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak berkepentingan yang terbabit dengan projek ECRL.

Menurutnya, pihak yang terlibat seperti kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) membuat keputusan untuk mengubah semula jajaran Seksyen C ECRL ke Jajaran Asal yang dicadangkan pada 2016-2017.

“Jajaran asal Seksyen C ini, yang juga dikenali sebagai Jajaran Utara, akan membabitkan laluan ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah berbanding Jajaran Selatan yang melalui Negeri Sembilan.

“MOT, sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan bagi menyelia pelaksanaan projek ECRL, mendapati Jajaran Utara akan meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL dan seterusnya memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar, dan sosial,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ka Siong berkata, jajaran Seksyen C ECRL 3.0 dianggarkan merangkumi 201 kilometer termasuk 32.4 kilometer jajaran sisihan berbanding jajaran sebelum ini 185.5 kilometer (termasuk 41.5 kilometer jajaran sisihan).

Katanya, ia menjadikan keseluruhan jajaran dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dengan perubahan terkini adalah sepanjang 665 kilometer.

Sementara itu, beliau berkata, kos pembinaan ECRL 3.0 adalah lebih rendah berbanding dengan kos asal pembinaan Fasa 1 dan Fasa 2 ketika dilancarkan pada 2017.

Tambah beliau, anggaran kos itu juga adalah lebih rendah berbanding dengan anggaran kos pembinaan ECRL 2.0 yang melalui Jajaran Selatan jika disertakan dengan pelaksanaan berasingan pembinaan Serendah Bypass iaitu sebanyak RM52.28 bilion.

“Walaupun pelaksanaan ECRL diubah kepada Jajaran Asal iaitu Jajaran Utara, projek ECRL secara keseluruhan masih boleh disiapkan dalam masa tujuh tahun dan mula beroperasi pada 2027.

“Buat masa ini, pembinaan ECRL sedang berjalan pada tahap yang memberansangkan iaitu 21.39 peratus setakat Mac 2021.

“Kerja pembinaan sedang rancak dijalankan dan bertumpu di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab),” ujarnya lagi.

Menurut Ka Siong, anggaran penggunaan penumpang ECRL 3.0 dianggarkan pada 5.03 juta penumpang menjelang 2027 manakala anggaran penggunaan kargo pada 26.12 juta tan.

Selain itu, katanya, dianggarkan lebih daripada 300 lokasi kerja yang merangkumi hampir keseluruhan jajaran untuk Seksyen A dan B akan dimulakan dan membabitkan kerja utama seperti kerja-kerja tanah, kerja-kerja pembinaan jambatan dan juga kerja-kerja terowong yang akan memasuki waktu puncak pembinaan.

“MOT amat optimis bahawa pelaksanaan Jajaran Utara akan terus menjadikan ECRL sebagai pemangkin kepada infrakstrutur negara yang akan membantu menghubungkan bandar-bandar di negeri Pantai Timur dan Lembah Klang selain membantu menaik taraf sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

“Jajaran Utara akan memberi rangkaian perhubungan yang lebih baik antara ECRL dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Mentakab, Serendah, dan Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) serta menghubungkan ke rangkaian LRT di stesen ITT Gombak,” kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan pelaksanaan semula Jajaran Utara, ECRL akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo dan penumpang yang lebih terancang di antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, menarik pelaburan di sepanjang koridor jajaran serta menjana banyak perniagaan dan peluang pekerjaan.

Tambahnya, pelaksanaan Jajaran Utara adalah pilihan yang lebih baik kerana ia memberi pencapaian yang lebih besar untuk rangkaian rel negara dalam masa jangka panjang. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/10/30/cadangan-pembangunan-kxp-belum-dimuktamadkan-ka-siong/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here