Penduduk lega ‘Pak Long’ bantu mangsa ribut

0
1

BANTUAN segera dihulurkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada peneroka Felda Bukit Puchong, Bera, yang ditimpa musibah ribut pada 30 Mac lalu nyata meringankan penduduk yang terjejas.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu bukan sahaja menghulurkan bantuan awal, malah meninjau keadaan rumah penduduk serta Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puchong yang rosak akibat dibadai ribut berkenaan.

Kejadian ribut yang menjejaskan 120 peneroka Felda Bukit Puchong mendapat perhatian Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga memberi jaminan akan berusaha membantu agar 120 kediaman yang rosak dapat dibaik pulih secepat mungkin dengan kos pembaikan antara RM200 hingga RM4,500 tidak perlu ditanggung peneroka.

Seorang mangsa, Izharudin Jusoh, 36, yang bumbung rumahnya rosak teruk pada bahagian depan dan tengah, bersyukur kerana wakil rakyat itu prihatin dengan nasib menimpa penduduk Felda berkenaan.

Izharudin Jusoh

“Terima kasih kerana ambil berat dan turun padang bagi melihat sendiri bencana yang menimpa kami di Felda Bukit Puchong ini.

“Harap rumah kami dapat dibaik pulih secepat mungkin,” kata generasi kedua peneroka felda berkenaan.

Serimah Hasan, 68, turut berkongsi perasaan sama sambil melahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku ketika kejadian.

Serimah Hasan, 68

“Ketika kejadian jam 9 malam itu, saya, suami serta anak bongsu berada di rumah apabila berlaku hujan lebat serta ribut petir.

“Secara tiba-tiba bunyi bising kedengaran dan bekalan elektrik terputus sebelum hujan mencurah-curah menimpa ruang tamu rumah dan barulah kami sedar bumbung sudah diterbangkan angin,” katanya.

Serimah berkata, keadaan itu mengakibatkan pelbagai barangan termasuk perabot, sofa dan barangan elektrik rosak akibat terkena hujan.

“Kami hanya mampu berdoa sahaja ketika itu untuk keselamatan diri selain melaungkan azan,” katanya.

Sementara itu, Daud Johari, 78, berkata sejak felda itu diteroka lebih 40 tahun lalu, ini kali pertama ribut besar melanda hingga merosakkan lebih 100 kediaman penduduk selain sebuah sekolah.

Daud Johari, 78

“Alhamdulillah Ahli Parlimen prihatin dengan nasib kami terutama dalam membantu kos baik pulih rumah dan berjanji akan menyelesaikan dengan segera,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/03/ismail-sabri-bantu-peneroka-felda-terjejas-ribut/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here