Guru meninggal akibat sakit kronik, bukan vaksin – Polis

0
1

KEMATIAN seorang guru wanita di Teluk Kemang, Port Dickson pada 1 April lalu bukan disebabkan kesan sampingan vaksin Covid-19 seperti mana yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata dakwaan mengenai kematian guru wanita berusia 54 tahun itu berpunca daripada vaksin Covid-19 yang tular sejak Jumaat lalu adalah tidak benar.

Menurutnya, guru berkenaan telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada 30 Mac lalu tetapi siasatan mendapati kematiannya disebabkan faktor lain.

“Siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun yang lalu.

“Mangsa telah mengalami sawan semasa berada di rumah pada pukul 10.30 malam, Khamis lalu (1 April 2021), dan kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Port Dickson lebih kurang pukul 12.20 tengah hari, keesokan harinya.

Katanya, polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang penyebaran berita yang tidak benar atau sebarang kenyataan media sosial yang boleh mengelirukan awam.

“Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/04/polis-gerik-nafi-anggota-mati-akibat-dos-kedua-vaksin-covid-19/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here