UMNO yakin PAS tidak akan menamatkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) memandangkan hubungan itu sudah terjalin hingga ke peringkat akar umbi.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata Umno juga melihat kenyataan beberapa pemimpin tertinggi PAS kebelakangan ini bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua parti.
“Saya ambil tafsiran yang paling positif iaitu daripada kenyataan presiden PAS dan timbalan presidennya sebelum ini yang mana mereka menegaskan masih mahu mempertahankan dan memperkukuhkan Muafakat Nasional.
“Jadi, itu satu isyarat yang bagi saya menunjukkan apa sahaja pendirian PAS mengenai Bersatu berkenaan dengan PN (Perikatan Nasional), mereka tidak ada lagi hasrat untuk berpisah daripada Umno,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, beliau berharap pemimpin dan ahli kedua-dua parti berlapang dada serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan Umno-PAS bagi merealisasikan agenda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jumaat lalu, PAS menyatakan pendirian menolak untuk menjalin kerjasama dengan parti yang ekstrem dan liberal, sebaliknya memilih bersama parti yang mempunyai prinsip dan hala tuju yang sama dalam menyatukan ummah.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS bersedia bekerjasama dengan semua parti yang ada dalam negara ini, namun ia perlu selari dengan konsep dan perjuangan parti itu.
“Kita bekerjasama dengan semua tetapi ikut konsep kita untuk satukan umat, bukan memecahkan umat, yang penting (parti) mesti tidak ekstrem, tidak liberal.
“Kita tolak kalangan liberal dan ekstrem, yang ekstrem itu kamu nilai sendiri, siapa yang ekstrem, siapa yang liberal,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/03/itu-pandangan-peribadi-hadi-tok-mat/

