PERIKATAN Nasional (PN) hanya sebuah parti untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyelamatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada siasatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil , berkata hakikatnya perjuangan PN yang diterajui Bersatu ini tidak berlandaskan kejujuran apatah lagi keikhlasan.
“Perjuangan mereka hanyalah untuk mengekalkan kuasa Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Menteri-menteri dalam Kabinet.
“Dan juga untuk menyelamatkan Azmin dan pelompat-pelompat parti lain daripada didakwa oleh pihak berkuasa, polis atau SPRM. Tanpa kerajaan PN, mereka ini tidak akan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Isham memetik kenyataan seorang Ahli Majlis Tertinggi Bersatu semalam bahawa dalam kerjasama politik perlu ada kejujuran dan keikhlasan dan bukannya retorik.
“Secara sedar atau tidak, tentunya dia tujukan kenyataan ini kepada partinya sendiri yang kebanyakan daripada pemimpin dan ahli-ahli Parlimennya adalah pelompat parti dan pengkhianat yang jelas dan terang-terangan tidak jujur dan tidak ikhlas dalam kerjasama atau perjuangan.
“Dan ramai daripada mereka yang telah melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat sebanyak dua kali sebelum ini: pertama kali ialah apabila mereka melompat keluar daripada BN, dan kali kedua apabila melompat keluar dari PH dan menjatuhkan kerajaan mereka sendiri.
“Tiada siapa yang akan percaya kepada orang yang telah mengkhianat sebanyak dua kali,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan ahli Bersatu yang mengkhianat ini juga yang dulu menang kerana menipu manifesto pilihan raya yang sehingga kini tidak ditunai.
“Mereka (Bersatu) telah berjanji untuk menghapuskan PTPTN dan hutang peneroka Felda, namun telah berkali-kali menipu rakyat akan janji-janji ini. Oleh itu bukan sahaja mereka ini pengkhianat, tetapi mereka juga adalah penipu bersiri.
“Siapakah yang akan percaya bahawa pengkhianat dan penipu ini adalah jujur dan ikhlas?,” soalnya.
Pada masa sama, beliau berkata, Bersatu tidak cekap dan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat, hanya sibuk berpolitik setiap hari bagi mengekalkan kuasa dan menyelamatkan diri.
“Sebab itu mereka masih takut untuk berhadapan dengan rakyat dan membuka Parlimen segera selari dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Februari lepas,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/03/sangat-bodoh-dakwa-mic-sertai-pn/

