Nak jaga macam mana kalau peruntukan sekolah Tamil dipotong – Guan Eng

0
2

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyindir Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung janjinya untuk menjaga komuniti India.

Ini kerana Guan Eng mendakwa bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat menjaga masyarakat India di negara ini sedangkan peruntukan untuk sekolah rendah Tamil telah dipotong.

“Janji kosong untuk menjaga komuniti India sedangkan peruntukan sekolah rendah Tamil pun dipotong daripada RM50 juta kepada RM30 juta dalam Belanjawan 2021 PN,” katanya menerusi satu hantaran ringkas di Facebooknya hari ini.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri menegaskan kerajaan PN komited untuk terus membela kebajikan dan menaik taraf hidup masyarakat pelbagai bangsa termasuk kaum India negara ini dari semasa ke semasa.

Muhyiddin juga percaya nasib kaum India akan terus dibela dan lebih banyak peluang dapat disediakan oleh kerajaan PN jika unjuran pertumbuhan ekonomi negara menjadi semakin baik, pada masa depan.

Beliau berkata ini terbukti apabila peruntukan RM100 juta disediakan untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi membantu golongan B40 dan memperkasa bidang pendidikan bagi meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat India menerusi Belanjawan 2021 lalu.

Beliau berkata masyarakat India juga layak menerima bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai bantuan prihatin rakyat di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here