Kluster Jalan Pelabuhan punca kes di Perak naik mencanak

0
1

KES jangkitan baharu Covid-19 yang tinggi di Perak hari ini berpunca daripada Kluster Jalan Pelabuhan yang merekodkan 494 kes atau 30.2 peratus daripada keseluruhan kes dalam negara hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan, Perak melaporkan kes harian baharu tertinggi, mengatasi Selangor yang merekodkan 352 kes dan Sarawak 290 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Jalan Pelabuhan telah diumumkan pada 20 Februari lalu yang mana kes indeks dilapor positif Covid-19 pada 13 Februari hasil saringan individu bergejala.

Nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama pekerja yang terletak di Jalan Pelabuhan Utama, Manjung yang didiami oleh pekerja dari beberapa kilang.

Dr Noor Hisham berkata pada 30 Mac lalu sembilan kes positif baharu dilaporkan melibatkan pekerja kilang dan kontak rapat mereka.

Susulan itu, katanya, saringan bersasar dijalankan ke atas 1,028 pekerja kilang di kawasan asrama di mana 486 kes didapati positif, 70 sampel “inconclusive”, dan 472 sampel negatif.

“Sehingga hari ini, sebanyak 1,312 kes positif dilaporkan daripada 1,689 yang disaring (kadar positif 77.7%).

“Kawasan asrama pekerja tersebut masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pengesanan kes secara aktif termasuk pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan di lapangan dan kes-kes yang terlibat telah diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malaysia hari ini mencatatkan 1,638 kes baharu Covid-19 dengan tiga kematian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here