KEDAH ketika ini mempunyai empat daerah zon hijau, iaitu paling banyak dalam kalangan negeri di Semenanjung.
Daerah terbabit ialah Langkawi, Bandar Baharu, Sik dan Yan, susulan tiada kes dicatatkan di semua kawasan itu dalam tempoh 14 hari lalu, menurut infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagaimanapun Kedah masih mempunyai empat daerah zon merah iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kulim dan Baling, manakala tiga lagi daerah berada dalam zon kuning.
Perak mempunyai dua daerah zon hijau iaitu Hulu Perak dan Kampar, selain enam zon kuning, tiga zon jingga serta satu zon merah iaitu di Manjung.
Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing mempunyai satu daerah zon hijau iaitu Jelebu dan Cameron Highlands.
Semua lima daerah di Pulau Pinang kini zon merah, begitu juga semua empat kawasan di Kuala Lumpur, manakala lapan daripada sembilan daerah di Selangor turut berada pada kategori zon merah.
Sementara itu lapan daripada 40 kawasan di Sarawak masih dalam zon hijau, begitu juga lima daripada 27 kawasan di Sabah. – Malaysiapost

