Pelajar antarabangsa halang tugas penjawat awam ditahan

0
2

POLIS menahan seorang pelajar antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam sebelum direman empat hari mulai hari ini kerana menghalang tugas penjawat awam.

Video kejadian itu tular di media sosial yang menunjukkan pelajar lelaki dari India berusia 22 tahun, melakukan provokasi terhadap anggota polis bantuan wanita UIAM di pondok pengawal universiti tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Zainal Mohamed Mohamed berkata laporan polis dibuat oleh polis bantuan itu kelmarin, susulan penularan video yang dikongsikan pelajar itu ke dalam grup Telegram ‘Freedom of Student’.

Beliau berkata, pengadu menafikan menyerang suspek seperti didakwa dalam video tersebut, sebaliknya suspek meminjam telefon bimbit pengadu dan apabila diminta semula, suspek enggan memulangkannya.

“Telefon itu dipinjamkan kepada suspek ketika pengadu menghubungi presiden pelajar untuk membuat semakan sama ada pihak universiti ada mengundang mana-mana pihak berjumpa dengan rektor.

“Pengadu dimaklumkan pihak universiti tidak mengundang mana-mana pihak berjumpa dengan rektor lalu diberitahu kepada suspek namun lelaki itu tidak berpuas hati.

“Pengadu kemudian menyerahkan telefon bimbitnya kepada suspek untuk bercakap sendiri dengan presiden pelajar,” katanya menerusi kenyataan hari inim

Zainal Mohamed berkata, pelajar tersebut bagaimanapun membuat rakaman video ketika polis bantuan wanita itu cuba mendapatkan semula telefon bimbitnya.

Katanya, tiada tangkapan dibuat terhadap suspek ketika kejadian atas arahan pihak pengurusan universiti supaya petugas tidak menyentuh mana-mana pelajar di dalam kawasan universiti.

Berikutan itu beliau berkata, polis kemudian menahan suspek di pekarangan dewan auditorium universiti jam 4.40 petang semalam, manakala telefon bimbit dipercayai digunakan untuk merakam video kejadian dirampas.

“Siasatan mendapati, suspek adalah pelajar tahun tiga universiti dan dia merakam video kejadian kerana bimbang tiada orang akan percaya bahawa pengadu menyerangnya.

“Dia memasukkan rakaman video ke dalam grup di Telegram untuk perkongsian dengan pelajar lain,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here