PRN Sabah: Abidin calon Star di Paginatan

0
2

BEKAS Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Abidin Madingkir bakal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan atas tiket Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Perkara itu diumumkan Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas menerima kemasukan Abidin bersama kira-kira 1,000 bekas ahli Upko di Kampung Lohan, Ranau, semalam.

Pengumuman itu juga menjawab teka-teki mengenai hala tuju politik Abidin selepas tiga minggu meninggalkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu itu antara 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan negeri pimpinan Warisan dan sekutunya yang beralih arah menyokong kumpulan pembangkang diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada akhir bulan lalu.

Tindakan mereka membolehkan Musa mengumpul majoriti mudah sebanyak 33 kerusi untuk mengambil alih kerajaan negeri dan bersedia dilantik semula sebagai Ketua Menteri, namun gagal.

Ia disebabkan pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin selepas meluluskan permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu.

Abidin ketika berucap, antara lain menjelaskan tindakannya itu didorong kesedaran bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan tidak mampu bertahan selagi tidak sehaluan dengan kerajaan Pusat.

Mengenai kemasukannya ke dalam Star, katanya, beliau sangat teruja menyertai parti itu dan bersedia untuk membantu mengukuhkan kedudukan di Sabah.

“Saya akan bekerjasama dengan lebih kuat lagi dan saya akan berusaha membawa ahli Upko yang lain ke dalam Star,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey menyifatkan kemasukan Abidin bersama pengikutnya akan menguatkan lagi peluang Star memenangi kerusi DUN Paginatan pada PRN nanti.

Kenyataan Jeffrey itu secara tidak langsung menjelaskan kerusi yang bakal ditandingi parti itu pada PRN nanti selain Tambunan dan Bingkor yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Star turut dijangka meletakkan calon di Sook dengan mengambil kira penyandang kerusi itu, Datuk Ellron Angin yang memenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada PRU lalu kini menyertai Star.