Khairuddin belum ‘bebas’, polis masih siasat

0
1

Aiman Hanif

[Covid-19]
POLIS masih menjalankan siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali walaupun telah dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara itu dalam satu hantaran di media sosialnya, petang Sabtu.

“Compound maxima (kompaun maksima) mengikut akta 342 adalah RM1000 untuk mereka yang ingkar perintah peraturan dan ‘Home Surveillance Order’.

“Pun begitu PDRM sedang menjalankan siasatan susulan laporan polis,” tulis beliau.

Terdahulu KKM memaklumkan sudah pun mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Mengesahkan perkara itu, KKM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Khairuddin dikenakan kompaun pada 7 Ogos lalu selepas didapati mengingkari Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta 342].

Susulan itu, Khairuddin dalam satu kenyataan memaklumkan yang beliau memulangkan semua gaji sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi Mei hingga Ogos 2020.

Katanya, ia sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia dibuat susulan isu beliau tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara, baru-baru ini.