‘Jangan beri tekanan kepada Azizulhasni’ – Chong Wei

0
2

JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berada pada landasan yang betul dalam mengejar kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2020, kata Datuk Lee Chong Wei.

Ketua kontinjen negara ke Tokyo itu yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali berkata, Azizulhasni mempunyai prospek meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan beliau tidak seharusnya diberikan sebarang tekanan.

Namun, Chong Wei yang hampir memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia, berkata pelbagai cabaran tetap ada dalam misi Malaysia memburu kejayaan itu.

“Saya tahu apa yang Azizul mahukan (pingat emas) di Tokyo. Saya yakin beliau mempunyai keyakinan tinggi setelah berjaya dalam kejohanan di Australia, baru-baru ini.

“Sebagai bekas atlet, saya amat memahami perasaan beliau sekarang ini. Oleh itu, saya tidak akan memberi sebarang tekanan kepada Azizul dan saya berdoa agar beliau melakukan yang terbaik di Tokyo nanti, “katanya seperti dilapor Bernama.

Azizulhasni meraih dua pingat perak dalam acara pecut dan keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia, hujung minggu lalu.

Bekas juara dunia berusia 33 tahun itu mengalahkan seorang lagi pelumba basikal trek negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom untuk merangkul kejuaraan dalam acara pecut final lelaki pada Kejohanan Trek Victoria Elite, Februari lalu.

Azizulhasni, yang juga dikenal dengan julukan The Pocket Rocketman layak dalam acara kegemarannya keirin dan acara pecut individu ke Sukan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sementara itu, Chong Wei menyifatkan Sukan Olimpik pada tahun ini sangat luar biasa kerana ia diadakan di ketika dunia masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

“Ini adalah masa yang mencabar untuk semua dan saya harap para atlet berada dalam keadaan yang sihat. Saya juga harap Covid-19 akan cepat berakhir dan berdoa agar semuanya kembali normal,” katanya.

Legenda badminton negara itu juga gembira melihat semua urusan persiapan menghadapi acara sukan terbesar di dunia itu, berjalan lancar.

Beliau juga berharap agar atlet tidak mengalami sebarang kecederaan menjelang pertandingan, yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini. – Malaysiapost

Foto Kredit: EPA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here