Pindaan Ordinan Darurat sangat membimbangkan – Tok Mat

0
2

TINDAKAN kerajaan meminda Ordinan Darurat untuk memberikan kuasa kepada kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN)adalah sangat membimbangkan.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata darurat tidak boleh mengenepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan sekalipun.

“Keabsahan tindakan pindaan Ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral.

“Sesuatu yang sah dalam darurat mestilah juga sesuatu yang dipandu dan diputuskan dengan nilai, moral dan prinsip.

“Apa lagi bila ia melibatkan perbelanjaan dana awam. Tiada keadaan walau serumit dan sesukar mana sekalipun, wajar melepaskan kerajaan dari ‘rigorous scrutiny’ dalam membelanjakan wang rakyat dan hasil negara,” katanya menerusi facebook, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan dinasihatkan bertindak mengikut norma dan tatakelola yang sesuai sebagai sebuah kerajaan awam dan bukannya kerajaan junta tentera.

“Kerajaan kita masih lagi adalah kerajaan awam dan bukannya sebuah Kerajaan junta tentera. Maka bertindaklah dengan norma dan tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam.

“Malah semasa dalam kedudukan darurat lah, Kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang serta perlembagaan yang tidak berfungsi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Perdana Menteri juga mesti dengan segera melakukan perkara yang betul dan sewajarnya untuk negara ini dan kepentingan demokrasi Malaysia.

“Malaysia dan rakyatnya wajar mendapat kewibawaan yang lebih baik dari pemerintah,” katanya.

Kelmarin, satu undang-undang baharu yang membenarkan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan), Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, diwartakan.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa pada 31 Mac 2021, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan dua seksyen baharu iaitu 10A dan 10B, telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/01/pindaan-ordinan-darurat-demokrasi-negara-sedang-tergendala/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here