PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap PAS selaku rakan politiknya dalam Muafakat Nasional (MN) dapat berfikir sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan muafakat itu yang asli.
Ahmad Zahid berkata, PAS perlu belajar daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan ‘genuine’.
Beliau berkata pelbagai persoalan ditimbulkan ramai pihak berhubung status MN, seusai Perhimpunan Agung Umno 2020.
“Memandangkan MN melibatkan rakan politik lain, maka tidak wajar saya menulis lebih daripada apa yang saya nyatakan di PWTC tempoh hari.
“Cuma apa saya boleh sentuh sedikit secara terbuka di sini adalah Umno serius dalam memperkukuhkan MN yang ditubuhkan pada 2019,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid turut mengajak untuk menoleh sejenak ke belakang agar semua pihak tidak lupa betapa bukan mudah menyatukan ummah di bawah gagasan MN ketika itu.
Beliau berkata, ramai bersyukur susulan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional yang tulen di Dewan Merdeka, dewan utama PWTC pada 14 September 2019.
Sejak itu, katanya, pelbagai kejayaan dilakar MN khususnta kemenangan banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) dan bersama memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Momentum keyakinan rakyat pelbagai bangsa dan agama sangat positif terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh MN yang sebenar.
“Mereka percaya kepada MN yang itu, bukan yang ini kerana sinergi yang terbentuk antara Umno dan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas,” katanya lagi.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai dibuat susulan PAS dan Bersatu dan PAS semalam menyatakan pendirian akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kedua-dua parti juga bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.
Menerusi kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kedua-dua parti akan sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk.
Selain itu, Bersatu dan PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut, sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkai perpaduan yang sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama.
Ia juga secara tidak langsung menggambarkan pendirian PAS untuk kekal bersama Bersatu dan PN bagi menghadapi PRU15 di sebalik beberapa pihak dalam Umno mahu parti Islam itu menyatakan pendirian sama ada masih bersama Umno dalam MN. – Malaysiapost

