Puad ingatkan KJ utamakan konsensus, bukan jawatan menteri

0
2

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Khairy Jamaluddin yang menuntut supaya pemilihan parti itu disegerakan bagi menyelesaikan kemelut dalaman Umno.

Mohd Puad mempersoalkan adakah benar cadangan itu mampu menyelesaikan semua masalah memandangkan Khairy sendiri pernah bertanding jawatan presiden pada 2018 lalu.

“KJ sendiri tanding jawatan Presiden di pemilihan UMNO 2018. Selesaikah masalah parti selepas itu?

“Mereka yang kalah dan takut bertanding menimbulkan masalah. Ada yang jadi power broker, ada yang melompat parti dan ada yang mahu menjual parti. Mereka berunding dengan pihak lawan tanpa merujuk parti,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, permasalahan Umno itu berkait dengan personaliti khususnya mereka yang mengamalkan ‘politik kapal selam’ iaitu hanya timbul ketika waktu pemilihan.

“Apatah lagi yang mengamalkan ‘Politik kapal selam’. Sekejap timbul sekejap tenggelam. Mereka timbul di waktu pemilihan. Habis pemilihan, tenggelam.

“Lebih parah lagi ialah yang mengamalkan ‘politik populis’. Mahu jadi ‘selebriti politik’ bukannya pejuang. Kehadirannya tidak pun menambah sokongan rakyat apatah lagi orang muda kepada parti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Puad mengingatkan Khairy supaya mengutamakan konsensus bukannya jawatan sebagai menteri.

“Sebab itu masalah lebih mudah selesai jika patuh keputusan parti dan Perhimpunan Agung Umno (PAU). Utamakan konsensus bukan jawatan menteri.

“Apa guna masuk kluster menteri muda, kalau isu pengundi muda 18 tahun pun tidak boleh selesai. Sebab itu, pemilihan parti belum tentu selesaikan masalah,” katanya.

Sebelum ini, Khairy menegaskan hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno iaitu dengan menyegerakan pemilihan parti.

Menurutnya, pemilihan tidak seharusnya ditangguhkan selepas pilihan raya sebaliknya harus dilakukan pada tahun ini juga.

“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here