PAS: Umno masih mengekalkan kepimpinan yang ditolak rakyat

0
1
Datuk Mohd Amar Abdullah

PEMIMPIN kanan PAS meramalkan Umno akan kehilangan lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika bergerak secara solo.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata secara peribadi beliau berpendapat sedemikian kerana Umno telah ditolak dalam PRU-14 lalu.

“Saya jangka dengan keadaan yang ada hari ini Umno akan hilang lebih banyak kerusi jika bertanding secara bersendirian.

“Sebab itu kita nak ketiga-tiga parti ini bersama, dan kita selesaikan isu-isu yang jadi pertikaian, kita cuba selesaikan setakat yang mampu,” katanya kepada media di Pasir Mas, hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Umno untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno 2020, Ahad lalu.

Umno juga telah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata Umno perlu menukar kepimpinannya untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU-15 nanti.

“Kita ambil kayu ukur pilihan raya sebelum ini, (berlaku) penolakan apabila Umno dengan kepimpinan yang ada dan kepimpinan Umno masih kekal.

“Kepimpinan yang ada ini kepimpinan yang telah ditolak baru-baru ini,” katanya lagi.

Sementara itu Mohd Amar berpendapat, majoriti orang Umno sama ada pimpinan dan ahli bawahan lebih suka parti itu bersama PAS dan Bersatu.

“Umno ini kena susun balik, kalau dia (Umno) pergi dengan macam itu, pandangan saya dia tak boleh pergi jauh,” tambahnya lagi.- Malaysiapost

Foto Kredit: Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here