BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan menteri Umno supaya tidak terus membisu dengan keputusan kerajaan yang tidak masuk akal dan membelakangkan rakyat.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata sememangnya tiada keperluan untuk menteri Umno melepaskan jawatan dalam Kabinet selagi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno belum memutuskan untuk menarik diri secara rasmi.
“Namun, jika keputusan menteri Umno untuk tidak letak jawatan adalah untuk bertanggung jawab kepada rakyat agar imej Umno tidak tercalar maka ada keperluan untuk mereka tidak lagi membisu apabila kerajaan membuat keputusan tak masuk akal yang jelas membelakangi atau merugikan rakyat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Beliau turut menyenaraikan enam perkara yang sepatutnya diperjuangkan oleh menteri Umno termasuk isu sidang parlimen, Undi18, had hutang kerajaan, darurat, projek HSR KL-Singapura serta penjualan syarikat semikonduktor terbesar Malaysia.
“Parlimen tidak bersidang sepanjang darurat dengan alasan bahawa terlalu ramai orang tua dalam dewan walaupun YDPA titah parlimen boleh bersidang dalam masa darurat.
“Malaysia adalah satu-satunya negara dalam dunia yang menggantungkan perlembagaan dan parlimen dengan alasan untuk membendung Covid,” katanya.
Beliau berkata, isu lain yang perlu diketengahkan ialah keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 sehingga September 2022.
“…. sehingga September 2022 (iaitu 3 tahun 2 bulan selepas diluluskan sebulat suara dalam parlimen) dengan alasan SPR di bawah kerajaan perlu mendapat kerjasama dari JPN di bawah kerajaan.
“Bab ini, saya berpuas hati apabila membaca hasrat menteri KBS Reezal Merican dengan sokongon Menteri Gains Khairy akan membawa isu ini ke kabinet untuk asingkan proses Undi18 dengan pendaftaran automatik.
“Ini bermakna pengundi umur 18 tahun sekurang-kurangnya boleh mendaftar secara kendiri sebagai pengundi sebagaimana pemilih-pemilih lain walaupun pendaftaran belum lagi automatik,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, Ordinan Darurat mengejut semalam mengetepikan kelulusan parlimen dan memberi kuasa untuk berbelanja sesuka hati tanpa mengikut bajet dalam tempoh darurat.
“Mana wujudnya negara demokrasi dalam dunia di mana kerajaan tidak perlu bertanggung jawab pada parlimen dalam hal perbelanjaan kerajaan?” katanya.
Menyentuh mengenai isu hutang negara, Najib sekali lagi mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak melanggar undang-undang sendiri dalam soal berkenaan.
“Membawa usul ke parlimen untuk naikkan sekali lagi had hutang kerajaan apabila nisbah hutang sebanyak 62.2% pada akhir tahun 2020 sudah cecah paras 60% (yang dinaikkan dari 55% oleh kerajaan PN dalam parlimen pada bulan Ogos lalu) agar kerajaan tidak melanggar undang-undang sendiri,” katanya.
Najib juga mempersoalkan mengenai keputusan kerajaan membatalkan projek HSR KL-Singapura dan menggantinya dengan projek HSR KL-JB yang kosnya agak sama.
“Akibatnya, kerajaan telah membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura dan menjejaskan keuntungan projek buat selamanya.
“(Kerajaan) menjual syarikat semikonduktor terbesar Malaysia kepada syarikat gabungan 60-40 Syarikat-China dalam masa darurat dan pada ketika industri semikonduktor dunia sedang berkembang pesat dengan harga RM273 juta. Duit dari penjualan ini tak cukup pun untuk membiayai kos pampasan RM320 juta kepada Singapura,” katanya.
Sehubungan itu, Najib mahu menteri Umno tidak terus mendiamkan diri dengan keputusan salah kerajaan jika benar alasan untuk tidak letak jawatan adalah demi rakyat.
“Jangan beri alasan nak bertanggung jawab pada Rakyat dan tidak mahu mencalar imej Umno jika masih membisu tentang perkara-perkara di atas yang jelas salah,” katanya.
Semalam, Tan Sri Muhyddin Yassin meminta menteri daripada Umno agar terus kekal berada dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN)Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut bagi mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
Menurut beliau, pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi .
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/31/pm-minta-menteri-umno-kekal-dalam-cabinet/

