Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Sarawak.
Pesawat khas membawa rombongan beliau tiba di lapangan terbang itu pada 9.37 pagi disambut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Datuk Dayang Morliah Awang Daud.
Perdana menteri mempunyai program yang padat dengan hari ini beliau dijadualkan menghadiri Majlis Perjumpaan Khas bersama Penjawat Awam di Hotel Waterfront, lawatan ke pusat vaksin di Stadium Perpaduan Petra Jaya serta melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.
Beliau juga dijadualkan menghadiri sesi balai rakyat ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, lapor Bernama.
Pada sebelah malam, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional dijangka mengadakan perjumpaan bersama Abang Johari serta barisan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak.
Dalam perkembangan lain, parti Bersatu yang juga diterajui oleh Muhyiddin sebelum ini memberi jaminan untuk tidak bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Semalam, perkara tersebut disahkan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang turut menyatakan bahawa persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan tahun lalu.
“Bersatu sudah memberi jaminan untuk tidak bertanding di negeri Sarawak dalam pilihan raya negeri dan umum serta jaminan ini diberikan oleh Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu,” katanya sebagai berkata.-Malaysiapost

