Aiman Hanif
CALON Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Umno akan ditentukan dalam pemilihan parti Jun nanti, kata bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Jelas Annuar, permintaan orang ramai supaya Umno menamakan calon Perdana Menteri mereka membuktikan parti itu masih diperlukan untuk memimpin negara.
“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan dan amat kuat bergantung pada suara akar umbi,kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.
“Insya-Allah,calon PM dan TPM daripada Umno akan diputuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli Umno sendiri.
“Umno akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai PM TPM, bila tiba masanya,” tulis Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya.
Kelmarin bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya pemilihan parti diadakan segera bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.
Ia disusuli dengan kenyataan Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang mendesak supaya pemilihan Umno diadakan bulan Jun ini.
Untuk rekod Annuar dan Shahidan antara dua pemimpin Umno yang tidak setuju dengan keputusan parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
Dalam pada itu, Annuar memuatnaik gambarnya bersama beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Seri Ismail Yaakob, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Gambar itu bagaikan memberi gambaran gadingan pemimpin Umno yang layak untuk menerajui parti itu dalam pemilihan Jun nanti.
“Ramai yang tak putus- putus bertanya siapa calon PM dan TPM daripada Umno PRU akan datang.
“Saya lihat ini secara positif. Ertinya ramai yang masih melihat Umno antara parti yg perlu menampilkan calun pemimpin utama negara,” kata Annuar lagi. – Malaysiapost

