Cuepacs saran teruskan kerja dari rumah

0
2
PN BBC Portal. Cuepacs

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan agar amalan bekerja dari rumah (BDR) diteruskan bagi mengelak kluster baharu Covid-19 di tempat kerja. 

Presidennya, Adnan Mat berkata kerajaan tidak pernah membatalkan arahan BDR sebaliknya hanya memansuhkan arahan 30 peratus bekerja di pejabat untuk kumpulan pengurusan serta penyelia di beberapa sektor swasta sebelum ini. 

Menurutnya, bagi perkhidmatan awam pula, kehadiran adalah berdasarkan pekeliling atau arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

“Sehingga kini JPA tidak pernah megeluarkan arahan untuk memansuhkan BDR bahkan memperkasakan amalan tersebut melalui Pekeliling Perkhidmatan Mengenai Dasar Bekerja Dari Rumah yang telah dikeluarkan kerajaan pada Disember tahun lalu. 

“Cuepacs berpendapat amalan BDR masih lagi perlu dilaksanakan serta diamalkan oleh semua majikan termasuklah sektor swasta dan awam kerana ia membantu mengekang penularan wabak Covid-19. 

“Seperti kita sedia maklum kes Covid-19 masih lagi mencatatkan empat angka dan proses melawan wabak berkenaan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan masih lagi di peringkat fasa pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, pihaknya melihat langkah BDR amat penting sebelum negara benar-benar pulih atau mencapai imuniti berkelompok. 

“BDR telah mula menjadi norma dalam perkhidmatan awam dan amalan tersebut masih lagi membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat terus beroperasi seperti biasa. 

“Pelaksanaan kali pertama BDR apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 memberi tempoh mencukupi untuk perkhidmatan awam membuat beberapa pengubahsuaian terhadap cara bekerja di luar pejabat,” katanya. 

Menurutnya, amalan BDR juga membolehkan produktiviti dapat dioptimumkan sebaik mungkin berbanding risiko tercetusnya kluster di tempat kerja yang boleh mengakibatkan keseluruhan operasi kerja terpaksa ditutup sepenuhnya. 

“Cuepacs menasihatkan majikan di sektor swasta tidak terburu-buru memulakan operasi pada kapasiti 100 peratus walaupun kebenaran telah diberikan oleh kerajaan. 

“Segala pertimbangan perlu diberikan perhatian terutama daripada sudut kemampuan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. 

Adnan berkata, penggunaan tenaga yang optimum di pejabat tanpa kehadiran penuh sudah pasti tidak akan menjejaskan operasi perkhidmatan awam selain mampu mengelakkan risiko jangkitan. 

“Cuepacs berpendapat amalan BDR ini wajar diteruskan sehingga negara benar-benar bebas daripada penularan Covid-19. 

“Kita tidak boleh mengambil risiko walaupun dengan kehadiran vaksin kerana jumlah mereka yang menerima suntikan tersebut masih lagi rendah,” katanya. – Malaysiapost 

Foto Kredit: Facebook Cuepecs

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here