Kuasa mutlak PM tanpa Parlimen, tanda kelumpuhan demokrasi

0
1
Lim Wei Jiet, Parti MUDA

IKATAN Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan kuasa mutlak Perdana Menteri meluluskan dana dan bajet tanpa melalui Parlimen, adalah bukti kelumpuhan demokrasi negara.

Naib Presiden Jawatankuasa Pro-Tem MUDA, Lim Wei Jiet berkata beliau merujuk kepada Ordinan Darurat terkini bertarikh 31 Mac 2021 berkaitan perkara berkenaan.

Katanya, ini satu lagi keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak demokratik dan menghina peranan Parlimen sebagai salah satu cabang utama pentadbiran negara.

“Parlimen memainkan peranan penting untuk menyemak imbang sebarang keputusan Eksekutif berkenaan hal ehwal kewangan negara.

“Lumrah tahu bahawa perbahasan dan pertukaran pandangan secara terbuka di Parlimen akan menyumbang kepada dasar kewangan yang lebih baik.

“Contohnya, selepas kritikan oleh MP-MP Pembangkang terhadap Bajet 2021 mengenai peruntukan memboros RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) (kini dijenamakan J-KOM), Menteri Kewangan akhirnya bersetuju mengurangkan peruntukan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, beliau berkata, Perdana Menteri kini mempunyai kuasa mutlak menentukan bagaimana kewangan negara harus diperuntukkan.

“Beliau tidak perlu menjawab kepada Ahli-Ahli Parlimen (baik dari Pembangkang atau backbencher), mahupun Ahli Kabinet beliau sendiri.

“Adakah beliau begitu taksub terhadap kuasa sehingga tidak mempercayai Menteri Kewangan sendiri untuk menentukan hala tuju perbelanjaan negara?,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkembangan tersebut menunjukkan betapa lumpuh dan parahnya demokrasi yang secara langsung akan menyumbang kepada dasar yang tidak pro-rakyat.

“Dengan itu, MUDA menyaran supaya darurat ditamatkan untuk menghidupkan semula demokrasi, sistem semak dan imbang dan good governance di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Malay Mail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here