Hutang bukan ditanggung kerajaan hari ini, tetapi kerajaan masa depan – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan agar Parlimen perlu disambung semula supaya wakil rakyat boleh memantau perbelanjaan kerajaan. 

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa darurat yang dilaksanakan untuk membendung Covid-19 ketika ini digunakan untuk memberi kuasa kepada kerajaan untuk berbelanja sesuka hati tanpa mengikut Bajet 2021 dan tanpa kelulusan Parlimen.

Menurutnya, kerajaan telah mengguna kuasa darurat untuk mewartakan ordinan baru untuk gantung Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 yang menyebabkan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan telah diketepikan.

“Pada Februari, kerajaan telah naikkan had untuk memberi projek secara rundingan terus dari RM20,000 ke RM50,000.

“Dikhabarkan juga banyak lagi projek yang saiznya lebih besar telah diberi sejak beberapa bulan lepas – sama ada secara rundingan terus atau dianugerahkan secara tender terhad dengan alasan pemberian projek perlu disegerakan untuk melawan Covid,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Najib berkata, susulan itu beliau pernah bertanya nisbah hutang kerajaan yang sudahpun mencecah 62.2 peratus, iaitu melebihi had 60 peratus yang dinaikkan dari 55 peratus pada Ogos tahun lalu.

“Sebelum warta hari ini, kadar pinjaman baru kerajaan tahun ini sudahpun amat rancak dan hutang kerajaan dijangka naik ke RM975.4 bilion pada akhir tahun ini (berbanding RM686.8 bilion masa BN).

“Selepas warta ini pula, hutang kerajaan mungkin lebih tinggi berbanding angka RM975.4 bilion itu,” katanya. 

Beliau juga mendakwa, dalam tempoh tiga bulan 2021, kerajaan telah membuat pinjaman baharu sebanyak RM54.5 bilion.

“Sebab itu, penting untuk Parlimen disambung semula supaya wakil rakyat boleh memantau perbelanjaan kerajaan.

“Hutang kerajaan bukan ditanggung oleh kerajaan hari ini tetapi oleh kerajaan-kerajaan masa depan dan akhirnya akan ditanggung oleh rakyat melalui pelbagai cukai-cukai baru,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here