Nurul Huda Abhar
PENGARAH dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki dan komposer Altimet berpeluang untuk sepentas bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Temu Anwar, di Ampang esok.
Menerusi hantaran di laman Instagram, Afdlin berkata turut bersama dalam program tersebut adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Buat julung kalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkongsi pentas bersama komposer dan penyanyi terkemuka, Altimet @altimet serta pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki.
“Siri Temu Anwar ini akan berlangsung di Hotel Flamingo Ampang pada Khamis, 1 April 2021 jam 7.45 malam.
“Dijemput semua hadir bersama-sama bagi memeriahkan program ini,” katanya di ruangan kapsyen.
Terdahulu, media melaporkan Afdlin Shauki sertai PKR, sebagai platform untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Afdlin berkata, PKR yang diterajui Anwar, menawarkan ruang dan kedudukan untuk beliau berkongsi aspirasinya dalam kerja-kerja kemanusiaan.
Dalam masa sama, beliau itu menjelaskan, nilai perjuangan dan semangat kental Anwar sebagai pemimpin juga banyak mendorong beliau untuk mendekati rakyat.
Pengumuman penyertaan Afdlin dan penyanyi Altimet dalam PKR akan diumumkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam acara Temu Anwar esok.
Afdlin berkata, keputusannya menyertai PKR selepas pernah berjuang di bawah Umno semuanya atas kemahuan dirinya sendiri.
Sementara itu, Altimet dalam sebuah video berkata amat teruja untuk bertemu Anwar selepas melihat kemunculan Ahli Parlimen Port Dickson itu di pentas Muzikal Lawak Superstar.
“Saya akan sepentas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru minggu lepas saya tengok dia di Pentas Muzikal Lawak Superstar. Agak teruja sebab dia agak kelakar.
“Saya juga akan bersama dengan abang saya, Datuk Afdlin Sauki. Sebagai anak Selangor, saya bangga kongsi pentas dengan Menteri Besar, Datuk Aminudin Shari,” ujarnya. – Malaysiapost

