BERSATU dan PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kedua-dua parti juga bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.
Menerusi kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kedua-dua parti akan sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk.
Selain itu, Bersatu dan PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut, sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkai perpaduan yang sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama.
“Bersatu dan PAS turut menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan
Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” kata kenyataan itu hari ini.
Bagi tujuan tersebut, kepimpinan Bersatu dan PAS selaku parti pengasas utama PN bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti khusus bagi menghadapi PRU15.
“Jawatankuasa itu turut berperanan mengadakan rundingan pengagihan kerusi dan segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dikalangan semua parti-parti komponen,” katanya.
Keputusan mewujudkan jawatankuasa tersebut dibuat semalam oleh kepimpinan kedua-dua parti.
“Setelah mengikuti senario mutakhir politik negara, kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS, diketuai oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah mengadakan pertemuan semalam bagi merangka halatuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam PN.
“Menginsafi pentingnya kestabilan politik sebagai teras kelangsungan PN dalam membela kebajikan rakyat dan terutama buat masa ini bagi menangani wabak Covid-19, kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS telah bersetuju dengan beberapa ketetapan asas,” menurut kenyataan bersama itu. – Malaysiapost

