Ebit Lew bantu gelandangan di Durban, Afrika Selatan

0
1

HANYA dua hari diperlukan oleh pendakwah terkenal Ebit Lew untuk memujuk seorang warga emas yang menjadi gelandangan selama 15 tahun di Durban, Afrika Selatan bagi dibantu, termasuk menukar pakaian baru dan mandi.

Lelaki dikenali sebagai Scott berusia 60 tahun itu dilihat seperti orang gila yang berkeliaran di bandar terbabit dengan tidur di tepi longkang dalam keadaan tidak terurus.

Menurut Ebit, dia cuba mendekati warga emas terbabit selepas melihat keadaannya dan pada awalnya lelaki berkenaan agak keberatan menerima bantuannya.

“Sayu masa tengok pakcik ni. Kasihan rasa. Masa pusing dekat bandar Durban tunggu makanan, tiba-tiba ternampak seorang seperti orang gila.

“Tidur tepi longkang dekat kedai. Mundar mandir dan kerja garu kepala.

“Saya terus dekat dan cuba berbual. Scott berumur 60 tahun. 15 tahun tidur di jalanan. Katanya selalu bila hujan baru mandi. Bila rapat baru tahu dia pernah berkahwin dan ada tiga anak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ebit berkata, lelaki terbabit mengakui kesilapan sendiri hingga gagal dalam hidup termasuk bercerai dan isterinya sudah berkahwin lain serta sering teringatkan anak.

“Saya sebut saya Cina. Dia cerita Jackie Chan. Saya tanya pernah tengok movie ‘Mission Imposible’. Dia kata tak suka tengok sebab katanya cerita itu mudah jer semua boleh capai dan mudah. Tapi hidup ini tak semudah itu.

“Tak semua benda kita dapat. Saya cerita bahagia itu dihati dan menerima positif dengan yang terjadi dalam hidup,” katanya.

Menurutnya, orang tempatan ada yang membantu, tetapi Scott memang susah terima bantuan terutama gunting rambut.

“Saya bawa beli baju seluar dan barang lain. Ajak makan KFC. Dan cuba bawa ke hotel. Hari pertama bila ada orang mencelah dia terus menolak semuanya. Saya datang lagi hari kedua.

“Dari takut-takut dia jadi rapat dengan saya. Macam kawan-kawan dah. Sekarang saya bawa ke hotel disini untuk mandi dan tidur. Dia gembira sangat. Dia macam ketinggalan tentang telefon bimbit dan lain-lain. Orang tempat semua terkejut dia nak ikut saya. Syukur rasa,” katanya.

Ebit berkata, dia ada mencadangkan tempat tinggal untuknya dan sedang berusaha memujuknya.

“Berbeza ujian setiap orang. Siapa tahu apa rahsia di sebalik semuanya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/ebit-lew-teruja-lawat-madrasah-oku-buta-di-afrika-selatan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here